Monday, April 25, 2011

Safee Sali Rindu Beraksi Bersama Skuad Negara

KUALA LUMPUR - Penyerang kebangsaan, Safee Sali tidak berkecil hati namanya tidak disenaraikan dalam skuad negara sejak dia menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya, Februari lalu.

Malah, bekas pemain Selangor itu, lebih selesa menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada jurulatih, K. Rajagobal dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memanggilnya atau pun tidak.

"Saya percaya jurulatih mempunyai caranya sendiri untuk membuat pemilihan pemain. Jurulatih dan FAM lebih berhak memutuskan untuk memanggil saya atau pun tidak.

"Lagi pun, saya baru menyertai Pelita Jaya dan saya juga perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru saya itu," katanya.

Safee yang berada di ibu negara selama dua hari, telah dilantik sebagai duta Tune Talk bersama rakan sepasukan iaitu penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat di sini, semalam.

Namun, Khairul Fahmi tidak dapat hadir pada majlis itu kerana terbabit dalam perlawanan Liga Super, hari ini menentang Selangor di Kota Bharu.

Dalam pada itu, menurut Safee, dia tetap optimis akan dipanggil bagi membantu pasukan kebangsaan apabila tiba masa yang sesuai kelak.

"Saya tidak nafikan saya amat rindu untuk beraksi bersama skuad negara dan saya yakin, khidmat saya akan diperlukan juga apabila tiba masanya," ujarnya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini aksinya di Pelita Jaya, Safee memberitahu, dia memasang azam untuk membantu kelabnya itu mendaki kedudukan yang lebih baik dalam Liga Super Indonesia (ISL).

Katanya lagi, buat masa ini, Pelita Jaya berada di tempat ke-10 daripada 15 pasukan dan dengan permainan hanya berbaki enam perlawanan, dia yakin, kedudukan tujuh atau pun lapan mampu digapai.

Safee kini telah pun meledakkan lima gol daripada tujuh perlawanan sejak dia mewakili kelab yang bertempat di Karawang, Jawa Barat itu.

Sementara itu, bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta Tune Talk, Safee melahirkan rasa gembiranya dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi itu.

"Sejak aksi saya menyerlah bersama skuad kebangsaan, ramai yang berminat untuk menjadi penaja dan melantik saya sebagai duta produk mereka," katanya.

Dalam pada itu, Tune Talk akan melancarkan Kejohanan Futsal Seluruh Negara yang bakal diumumkan dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment