Sunday, March 27, 2011

Kenapa Malaysia Tak Masuk World Cup?

Artikel berikut ditulis oleh Bird dari Aidan Blog:

Piala Dunia 2010 sudah berakhir pada tahun lepas. Diego Forlan dianugerahkan permain terbaik World Cup 2010.


Sejak sekian lama, walaupun bola sepak merupakan pemainan No. 1 di Malaysia, pasukan bola sepak Malaysia sangat lemah. Prestasi Malaysia sekarang sangat lemah, jauh berbeza jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan Malaysia dulu. Jangankan Piala Dunia, Piala Asia pun asyik tak layak.

Ranking FIFA terburuk pasukan Malaysia ialah 170, iaitu pada April 2008. Jumlah negara yang wujud di dunia ni: 200 negara.

Kedudukan ke-170 dari 200 negara. Negara-negara yang tak pernah didengar macam Swaziland, Gambia, Antigua and Barbuda, Gabon, New Caledonia, Cape Verde Islands, Burkina Faso, Turks and Caicos Islands, Benin, Netherlands Antilles, Vanuatu, St. Kitts and Nevis, Equatorial Guinea,  St. Vincent and the Grenadines, St. Lucia, dan Eritrea pun ranking lebih tinggi.

Dan jumlah 200 tu pun belum tolak negara yang tak main bola sepak, negara terlalu kecik, negara tak stabil, negara tengah perang. Kalau kira negara yang layak main bola sepak saja, mungkin Malaysia kedudukan top 10 dari bawah kot.

Banyak alasan-alasan diberi, antaranya:

1. Alasan: Pemain Malaysia kecik
Betul, secara relatif, pemain Malaysia berbadan kecik. Tapi pemain-pemain dari negara Asia lain macam dari Korea pun berbadan kecik jugak. Korea Utara dan Korea Selatan masuk World Cup. Nasib baik tak ada Korea Timur.

Pemain terbaik sepanjang zaman, Pele, mempunyai ketinggian 1.7m. Sedangkan pemain-pemain Malaysia kebanyakkannya hampir 1.8m. Kapten pasukan Malaysia sekarang, Aidil Zafuan Razak 1.74m.
Pemain kedua terbaik sepanjang zaman, Maradona, 1.65m. Saya yang pendek ni pun lebih tinggi dari Maradona. Roberto Carlos 1.68m, Romario 1.68m. Fabio Cannavaro, Nobby Stiles, George Best, dan ramai lagi. Bukan calang-calang pemain ni, semuanya pemain terbaik dalam pasukan masing-masing.

Ok, tak payah tengok sejarah la. Pemain Terbaik Dunia FIFA 2010, Lionel Messi, hanya setinggi 1.69m.

2. Alasan: Bola Sepak di Malaysia masih baru
Pemainan bola sepak di Malaysia sebenarnya dah lama di Malaysia, sejak zaman penjajahan British lagi. Sebelum Malaysia ditubuhkan (1963), dah wujud pasukan negara iaitu pasukan bola sepak Malaya. Antara kejayaan terbesar pasukan Malaya ialah mendapat gangsa dalam Kejohanan Asia 1962 (mengalahkan Vietnam Selatan 4-1).

Selepas Malaysia ditubuhkan, barulah wujud pasukan bola sepak Malaysia. Antara kejayaan terbesar ialah masuk Sukan Olimpik 1972 (mengalahkan Filipina, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat) dan masuk Sukan Olimpik 1980 (tetapi tak jadi ke Moscow sebab boikot).

Liga Malaysia pun dah lama wujud sejak 1979. Saya ingat lagi pada tahun 1990, wakil-wakil Jepun datang ke Malaysia untuk belajar macam mana Malaysia berjaya jalankan liga di sini. Masa tu Jepun takde lagi liga bola sepak, sedangkan liga Malaysia sudah semi-pro. Lepas dah belajar dari Malaysia, liga bola sepak Jepun (J-League) dimulakan pada tahun 1993, iaitu 14 tahun lebih lambat berbanding Malaysia.

Tapi sekarang Jepun, dan negara-negara jiran lain semua sudah lebih hebat. Beberapa tahun lepas, Malaysia kalah dengan Laos 2-0, sedangkan Laos masa tu tak ada liga bola sepak professional, dan pemain-pemain Laos hanya main bola sepak secara sambilan – pagi jadi cikgu bahasa Laos, petang jadi pemain bola sepak Laos.

Kata orang, biasalah adat permainan, ada yang kalah, ada yang kalah teruk.

3. Alasan: Infrastruktur dan Kemudahan Malaysia tak cukup
Kemudahan-kemudahan di Malaysia ni sebenarnya canggih-canggih belaka. Di Malaysia, pasukan Selangor gunakan Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan 80 ribu penonton.

Cuba bandingkan angka 80 ribu tu dengan stadium-stadium kelab terkemuka England seperti Chelsea ‘Stamford Bridge’ (42 ribu); Liverpool ‘Anfield’ (45 ribu) dan Manchester City ‘City of Manchester Stadium’ (47 ribu). Stadium kelab paling besar milik Manchester United, iaitu Stadium Old Trafford, hanya memuatkan 77 ribu penonton, itupun selepas stadium tu dibesarkan baru-baru ni.

Di Malaysia kita ada perkampungan sukan Bukit Jalil. Semua lengkap. First class. Stadium Bukit Jalil boleh muatkan lebih 100 ribu penonton. Masuk dalam senarai 10 stadium terbesar di dunia tu. Wow hebatlah Malaysia!

Stadium Nou Camp milik Barcelona, iaitu stadium terbesar di Eropah, pun lagi kecik. Stadium Wembley tak payah cakaplah, lagilah kecik. Stadium Sarang Burung, China (dibina khas untuk Olimpik 2008) – lagi kecik. Stadium Soccer City, Afrika Selatan (dibina khas untuk World Cup 2010) – lagi kecik juga. Stadium Jawaharlal Nehru, India (diguna untuk Sukan Komanwel 2010) – pun lagi kecik juga.

Kata orang, biar kalah, asalkan menang sorak.

4. Alasan: Rakyat Malaysia tak mampu
Pemainan bola sepak bukannya permainan untuk orang kaya. Tak perlukan banyak duit. Hanya perlukan 1 bola, 30 orang pun boleh main – teringat waktu pendidikan jasmani ketika sekolah dulu. Tiang gol pun tak wajib.

Bola sepak pulak tahan lama, bukan macam bulu tangkis atau bola ping-pong. Basketball perlukan tiang basket, baseball perlukan bat, badminton perlukan raket dan net. Ice hockey lagilah, perlukan hockey stick, sarung tangan, puck, skates, helmet, seluar baju khas dan skating rink.

Bola sepak permainan yang universal, bleh dimainkan oleh orang miskin, bukan macam sukan kaya lain: golf, F1, tennis, bowling, squash dan lain-lain.

Untuk World Cup 2010, kesemua pemain pasukan Brazil (kecuali Kaka) datang dari keluarga yang miskin. begitu juga dengan hampir kesemua pemain Argentina (kecuali Redondo), Ivory Coast, Ghana, Cameroon, Senegal dan negara-negara miskin lain-lain.  Pele pun bermula dengan menyepak stokin yang disumbat suratkhabar atau menyepak buah grapefruit.

Si Forlan dulu masa kecik, main bola berkaki ayam, tapi kini dianugerahkan pemain terbaik World Cup.
Budak-budak di Malaysia pulak, tak main lah setakat kasut Line-7 atau Lotto. Mestilah model terbaru Adidas atau Nike. Main tak seberapa, tapi kasut berkilat-kilat macam angkasawan.

Kata orang, biar kalah, asalkan bergaya.

5. Alasan: Populasi penduduk Malaysia terlalu sikit.
Mengikut kiraan mata kasar saya, jumlah manusia di Malaysia lebih kurang 80 juta. Kalau tolak warga asing, populasi Malaysia sebenar ialah 28 juta. Wah sikit la sangat. Jom tengok populasi negara-negara yang dapat masuk Worldcup 2010 pulak.

Jumlah penduduk (juta) bagi negara-negara yang masuk World Cup 2010 dan Malaysia:

Malaysia 28
Korea Utara 24
Ghana 23
Australia 22
Ivory Coast 20
Cameroon 18
Chile 17
Netherlands 16
Portugal 11
Greece 11
Selangor + Kuala Lumpur 7
Honduras 7
Switzerland 7
Serbia 7
Paraguay 6
Denmark 5
Slovakia 5
New Zealand 4
Uruguay 3
Slovenia 2

Lebih separuh dari negara-negara yang masuk World Cup 2010 mempunyai populasi yang lebih kecik. Kalau tengok senarai kat atas, negara-negara tu kurang penduduk, berbanding Malaysia, malah berbanding Selangor dan KL digabungkan!

Sedangkan negara paling besar iaitu China (1.3 billion) dan India (1.1 billion) pulak tak dapat masuk World Cup. Uruguay (3 juta saja) pula yang dapat sampai ke peringkat semi-final.

Penyerang Uruguay, Si Forlan, siap dianugerahkan pemain terbaik World Cup 2010.

6. Alasan-alasan lain.

Ada banyak lagi alasan-alasan lain yang sering dilabel sebagai penyebab pasukan bola sepak Malaysia lemah. Antara yang popular: pemilihan jurulatih, pemakanan pemain, mentaliti pemain, korupsi FAM, penggunaan/ketidakgunaan pemain import. Mengarut semuanya. Nanti saya ceritakan mengapa pasukan bola sepak Malaysia lemah.

p/s – Bilakah agaknya seorang Si Polan dari Malaysia akan dianugerahkan permain terbaik World Cup (seperti Si Forlan)?

1 comment:

  1. aq sokong...aq nak berusaha untuk malaysia..walaupun latihan bola dimaki atau pun di terajang ke ape ke..aq ttp nak berusaha kerana ingin mengharumkan negara MALAYSIA!!

    ReplyDelete