Friday, April 1, 2011

United Terus Usaha Buru Kejuaraan Ke-19


PENDAHULU Liga Perdana England, Manchester United meneruskan pemburuan untuk memecah rekod kejuaraan ke-19 bagi saingan liga dengan bertemu pasukan yang memberikan mereka kekalahan terbesar musim ini.

United tewas 0-4 kepada West Ham pada saingan suku akhir Piala Liga pada November lalu, salah satu daripada empat kekalahan dalam semua kejohanan yang diharungi skuad bimbingan Alex Ferguson itu musim ini.
Malam esok, United kembali semula ke Upton Park untuk berdepan West Ham, kali ini dalam saingan liga sambil diperkuat semula kehadiran kapten, Nemanja Vidic yang sudah pulih daripada kecederaan betis.

Namun United masih dibelenggu masalah kecederaan pemain terutama di bahagian pertahanan tatkala mereka perlu mempertahankan kelebihan lima mata berbanding pasukan di tangga kedua, Arsenal yang masih kurang satu perlawanan dan akan bertemu Blackburn pada awal pagi Ahad ini.

Tiga pemain pertahanan United, Rio Ferdinand, Rafael da Silva, Jonny Evans dan John O’Shea kesemuanya terpaksa diketepikan dan ia memberikan tugas sukar buat Ferguson untuk mengulangi kejuaraan treble pada 1999.
“Ia akan menjadi musim yang lebih sukar daripada musim 1999. Ketika itu, kami tidak menghadapi masalah kecederaan seteruk ini.

“Memang keghairahan pemain begitu tinggi sekarang tetapi kami menghadapi masalah kecederaan di posisi pertahanan.
“Apa pun kami takkan mudah mengalah dan mampu memenangi tiga piala musim ini. Tapi ia akan lebih sukar,” kata Ferguson.

Sementara itu, juara bertahan, Chelsea bakal bertandang ke Stoke malam esok dengan penyerang baru dari Sepanyol, Fernando Torres masih menjadi gol sulungnya sejak berhijrah dari Liverpool pada 31 Januari lalu.
Arsenal pula yang membuang mata hasil keputusan seri pada dua perlawanan terakhir bakal memberikan penampilan semula kepada penjaga gol berusia 41 tahun, Jens Lehmann yang dipinjam untuk mengatasi krisis penjaga gol yang dihadapi kelab itu.

Pasukan di tangga keempat, Manchester City pula menanti kunjungan Sunderland pada Ahad manakala Tottenham di tangga kelima dengan empat mata di belakang City berkunjung ke Wigan malam esok.
Sementara itu, pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menyambut semula kepulangan kaptennya, Steven Gerrard yang berehat hampir sebulan akibat kecederaan pangkal paha untuk bertemu West Brom yang dibimbing bekas pengurus Liverpool, Roy Hodgson malam esok.

“Saya harap dapat menjalani latihan penuh pada sesi latihan Khamis (semalam) dan bersedia untuk dipilih beraksi pada perlawanan menentang West Brom ini.
“Tapi semuanya terpulang kepada pengurus untuk berasakan saya sudah bersedia atau tidak,” kata Gerrard.

-mynewshub.my

No comments:

Post a Comment